ARNOLD Schwarzenegger (tengah) tidak mendakwa ‘peminat nakal’. -Foto AFP
Agensi

CAPE TOWN: Bintang Terminator, Arnold Schwarzenegger dikejutkan dengan kejadian tidak diingini apabila dia secara tiba-tiba ditendang dari belakang oleh individu tidak dikenali pada festival sukan di Afrika Selatan.

Kejadian berlaku ketika dia merakam atlet lompat tali di sebuah gimnasium pada Festival Sukan Arnold di Pusat Konvensyen Sandton sebelum diserang, lapor Daily Mail.

Tindakan itu turut menimbulkan rasa panik di kalangan orang ramai dan kanak-kanak yang melihat kejadian terbabit sebelum penyerang terbabit ditahan pengawal keselamatan.

Menerusi akaun Twitter, pelakon berusia 71 tahun itu berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan namun tiada apa perlu dirisaukan.

“Saya sangkakan diasak oleh orang ramai iaitu perkara biasa yang berlaku sebelum ini. Saya kemudiannya menyedari sebenarnya ditendang ketika melihat video itu. Nasib baik si dungu itu tidak mengganggu Snapchat saya,” katanya.

Sementara itu, penganjur festival dalam kenyataannya berkata, pelakon terbabit tidak bercadang untuk mendakwa penyerang terbabit.

“Dia mengesahkan tidak berhasrat untuk mendakwanya. Dia melihat perkara ini sebagai kejadian malang dilakukan oleh peminat nakal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:00 PM