POLIS Indonesia siap sedia mengempur perusuh. -Foto AFP
AFP/Reuters

JAKARTA: Polis Indonesia melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di pusat bandar Jakarta awal pagi ini berikutan perhimpunan yang diadakan menentang pemilihan semula Presiden Joko Widodo.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) semalam mengeluarkan keputusan rasmi yang mengesahkan Widodo, 57, mengalahkan bekas jeneral tentera Prabowo Subianto untuk jawatan presiden pada 17 April, lapor AFP.

Reuters melaporkan, Jokowi menang lebih 85 juta undian daripada keseluruhan 154 juta di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu, dengan undian sebanyak 55.5 peratus berbanding 44.5 peratus yang diperoleh Prabowo.

Beberapa ribu orang menyertai perhimpunan bagi menyokong Subianto berdekatan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia di ibu kota negara itu semalam.

Bantahan berakhir secara aman tetapi polis kemudian melepaskan gas pemedih mata apabila sebahagian penunjuk perasaan enggan meninggalkan kawasan itu dan melontarkan mercun serta objek lain ke arah pencegah rusuhan.

Ia tidak jelas sekiranya ada penunjuk perasaan atau polis yang tercedera dalam rusuhan.

Lebih 30,000 anggota tentera ditempatkan di seluruh ibu kota kerana sudah menjangkakan berlakunya bantahan selepas keputusan pilihan raya rasmi dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 10:13 AM