ANTARA pelarian Rohingya yang berjaya ditahan dalam cubaan membuat perjalanan berbahaya ke Malaysia.
AFP

TEKNAF (BANGLADESH) : Pengawal pantai Bangladesh berjaya menghalang 58 pelarian Rohingya daripada membuat perjalanan berbahaya ke Malaysia menerusi laluan laut dan menahan dua suspek disyaki penyeludup manusia.

Leftenan Josel Rana berkata, pasukan pengawal pantai yang bertindak atas maklumat mengejar sebuah bot nelayan berhampiran Saint Martin, kepulauan kecil Bangladesh di Teluk Benggala dan menemui kesemua pendatang berkenaan di dalam kapal itu.

“Kami menemui 58 pelarian dan menahan dua penyeludup di dalam bot itu,” katanya.

Kira-kira 700,000 minoriti Islam Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh susulan operasi ganas pihak tentera di negara majoriti Buddha itu sejak Ogos 2017.

Ribuan pelarian cuba meninggalkan kem dihuni mereka setiap tahun bagi mencari kehidupan lebih baik di negara seperti Malaysia dan Thailand.

Menurut Rana, sebahagian besar pelarian yang diselamatkan itu datang dari kem Kutupalong iaitu penempatan pelarian terbesar dunia.

Setakat tahun ini, agensi penguat kuasa Bangladesh sudah menyelamatkan lebih 400 pelarian Rohingya dari perkampungan tepi pantai ketika sedang menunggu bot yang akan membawa mereka ke Malaysia.

Namun begitu, ini adalah kali pertama tindakan menyelamat dilakukan di atas laut, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa situasi di kem pelarian yang padat di Bangladesh semakin buruk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 10:24 AM