TASIK menjadi kering kontang selepas suhu melepasi 50 darjah Celsius di India. FOTO Agensi
AFP

NEW DELHI: Utara India dilanda gelombang panas dengan suhu melebihi 50 darjah Celsius sehingga mencetuskan masalah bekalan air serta bahaya strok haba.

Menurut Jabatan kaji cuaca, bandar gurun Churu di Rajasthan mencatatkan suhu 50.6 darjah Celsius, kelmarin.

Seluruh Rajasthan mengalami cuaca panas melampau dan beberapa bandar mencecah suhu maksimum melebihi 47 darjah Celsius.

Pada Mei 2016, Phalodi di Rajasthan mencatatkan suhu tertinggi di India iaitu 51 darjah Celsius.

Menurut Jabatan Meteorologi India, cuaca panas melampau dijangka kekal sehingga seminggu di Rajasthan, Maharashtra, Madhya Pradesh, Punjab, Haryana dan Uttar Pradesh.

Beberapa kematian akibat strok haba sudah dilaporkan.

Amaran turut dikeluarkan di New Delhi berikutan suhu sudah melepasi 46 darjah Celsius dan penduduk dinasihatkan kurangkan keluar pada waktu siang.

Di Himachal Pradesh yang terletak di kawasan berbukit, ramai penduduk kaya bercuti di tempat lain berikutan suhu mencecah 44.9 darjah Celsius di daerah Una.

Beberapa bandar besar bermula dengan Chennai melaporkan kebimbangan masalah bekalan air selepas tasik dan sungai mula kering.

“Kami perlu mencari lori tangki air dari kampung berhampiran kerana tempat menyimpan bekalan air, tasik dan juga sungai sudah kering.

“Petani hanya menerima bekalan air untuk haiwan ternakan sekali dalam tiga hari,” kata penduduk daerah Beed, Rajesh Chandrakant.

Petani Raghunath Tonde yang mempunyai tujuh anggota keluarga berkata daerah itu mengalami bekalan air terputus sejak lima tahun lalu.

“Sudah beberapa hari kami tiada bekalan air untuk minum dan sebuah lori tangki air datang ke kampung setiap tiga hari,” katanya.

Akhbar Hindustan Times melaporkan penduduk di Beed sudah berhenti membasuh pakaian disebabkan masalah bekalan air.

Tahun ini, lebih 40 peratus penduduk India berdepan kemarau, kata pakar Institusi Teknologi Gandhinagar bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 8:20 AM