CUCI muka antara 3 hingga 5 kali sehari tanpa guna sebarang produk kecantikan sudah memadai
Hafiz Ithnin


SUDAH biasa kita mendengar mengenai minuman mengandungi kolagen yang mampu menegangkan kulit. Malah, ia menjanjikan hasil yang cukup menggoda apabila pengguna tampak muda jika mengamalkannya secara konsisten.

Sebaik mendengar penjelasan daripada Pakar Dermatologi, Dr Felix Yap Boon Bin, membuatkan penulis terfikir mengenai kebenarannya.

Menurut Dr Felix, gabungan asid amino dan protein diperlukan untuk membuat kolagen yang ingin dijadikan sebagai khasiat di dalam produk minuman.

Bagaimanapun, selepas ia diminum protein dan asid amino berkenaan akan terurai dan khasiat diambil oleh sistem badan yang lain. Ia bermaksud peratusan untuk asid dan protein berkenaan bergabung semula bagi membentuk kolagen di dalam badan masih menjadi tanda tanya.


DR Felix Yap Boon Bin

“Begitu juga dengan teknik sapuan untuk menyerapkan kolagen di dalam kulit muka, kajian yang dilakukan oleh pakar dermatologi antarabangsa mendapati ia tidak begitu berkesan dan mungkin jumlah peratusan serapan juga kecil.

“Kebiasaannya bagi menegangkan semula dan mengelakkan kelihatan lebih tua ialah melalui ‘dermal filler’ atau secara ringkasnya dikenali sebagai filler iaitu bahan sintetik yang disuntik ke dalam lapisan dermis. Cara ini terbukti berkesan kepada pengguna,” katanya.

Pakar itu menambah, amalan meletakkan potongan buah-buahan di muka dengan harapan vitamin daripada buah dapat menyerap masuk ke dalam kulit muka juga boleh dianggap mitos.

“Vitamin sememangnya baik untuk kulit muka terutama vitamin C dan orang ramai percaya dengan memotong buah-buahan yang kaya vitamin itu seperti limau dan kiwi dan diletakkan pada muka dapat membantu mempercepatkan serapan vitamin.

“Sebenarnya, perkara itu tidak tepat kerana vitamin C yang digunakan untuk sapuan adalah jenis abstrak yang bukan daripada buah-buahan. Meletak potongan buah-buahan hanya dapat melembapkan kulit saja,” katanya.

Katanya, langkah pengguna yang mengisar pelbagai jenis buah atau sayuran untuk disapu ke muka juga aktiviti yang boleh memudaratkan wajah memandangkan di dalam buah-buahan terdapat pelbagai asid.


SECARA biologi membasuh muka menggunakan air sahaja sudah memadai.

“Anda bayangkan, jika seseorang itu mengupas buah limau sahaja boleh menyebabkan kulit tapak tangan menggelupas, bagaimanakah agaknya jika hasil kisaran limau bersama bahan lain yang dibuat sendiri diletakkan muka? Pasti memberi risiko kepada wajah anda.

“Jangan lakukan amalan seperti ini untuk kelihatan cantik kerana bahan yang digunakan mengandungi pelbagai asid yang mungkin boleh menyebabkan muka rosak,” katanya.

Dr Felix berkata, bagi wanita yang inginkan wajah berbentuk V, amalan mengunyah gula getah atau aktiviti yang banyak menggunakan otot ketika mengunyah boleh menyebabkan kesukaran mendapatkan bentuk berkenaan.

Selain itu, pakar itu juga menasihatkan mencuci muka antara tiga hingga lima kali sehari tanpa menggunakan sebarang produk kecantikan sudah memadai untuk mengelakkan wajah kotor dan menyebabkan masalah kulit yang lain.

“Didapati wanita yang berusia 18 tahun ke atas lebih berdepan dengan masalah kulit wajah berbanding lelaki. Perkara ini disebabkan penggunaan pelbagai alat kosmetik.

“Kekerapan menggunakan alat kosmetik tanpa membersihkannya dengan sempurna boleh mengakibatkan liang-liang wajah menjadi tersumbat dan akhirnya menyebabkan jerawat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 4:30 AM