GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
Agensi

NEW YORK: Doktor sebuah hospital di sini, terkejut mendapati ketulan dalam otak seorang pesakit sebenarnya anak cacing pita dan bukannya tumor.

Pada September lalu, doktor di Hospital Mount Sinai melakukan pembedahan ke atas Rachel Palma, 42, selepas imbasan MRI mengesahkan wanita itu menghidap kanser.

Namun, doktor hairan apabila menemui ketulan pelik merupai telur burung puyuh dan mempunyai isi dalam otak Rachel, lapor South China Morning Post hari ini.

Ketika menghiris ketulan itu, doktor mendapati ia mengandungi seekor anak cacing pita.

Doktor mendiagnosis Rachel dengan neurocysticercosis, jangkitan parasit di otak disebabkan cacing pita Taenia solium.

Rachel berkata dia mengalami gangguan tidur sejak sekian lama dan sering mimpi buruk selain mengalami halusinasi.

Pada Januari tahun lalu, tahap kesihatan Rachel semakin merosot apabila dia mula mengalami kesukaran memegang barang dan otak menjadi celaru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 3:16 PM