AFP

COLOMBO: Lima rakyat Sri Lanka yang diburu kerana mempunyai kaitan dengan insiden pengeboman hingga membunuh 258 nyawa pada Hari Easter lalu, ditahan di Arab Saudi dan diekstradisi semalam, kata polis dan Interpol.

“Salah seorangnya yang dipercayai ketua kumpulan itu sudah ditahan selepas Notis Merah Interpol dikeluarkan,” kata organisasi polis antarabangsa yang berpangkalan di bandar Lyon, Perancis itu dalam kenyataannya.

AFP melaporkan, lelaki didakwa sebagai ketua kumpulan itu dikenali sebagai Mohamed Milhan iaitu pemimpin kanan kumpulan jihad, Thowheeth Jama’ath Kebangsaan (NTJ) yang bertanggungjawab melakukan pengeboman pada 21 April itu.

Setiausaha Agung Interpol, Juergen Stock berkata penahanan dan ekstradisi suspek utama ke Sri Lanka itu adalah langkah utama dalam siasatan yang masih berterusan.

Jurucakap polis, Ruwan Gunasekera berkata, Milhan turut dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan pembunuhan dua konstabel pada November lalu di barat pulau itu yang menjadi pangkalan ketua NTJ, Zahran Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 12:38 PM