FRANCO Zeffirelli.
AFP

ROME: Pengarah filem Itali dan legenda opera, Franco Zeffirelli meninggal dunia hari ini pada usia 96 tahun di rumahnya di sini, lapor media tempatan.

Zeffirelli yang lahir pada 12 Februari 1923, “meninggal dunia selepas menderita lama kerana penyakitnya dan semakin tenat sejak akhir-akhir ini,” lapor media Itali yang memetik kenyataan ahli keluarga.

“Ia adalah hari yang menyedihkan apabila Franco Zeffirelli meninggal dunia pagi ini. Dia antara lelaki terhebat dalam dunia kebudayaan. Selamat tinggal Zeffirelli, Florence tidak akan melupakan kamu,” kata Datuk Bandar Florence, Dario Nardella menerusi Twitter bagi menghormati legenda itu yang lahir di sana.

Sebagai pengarah, penulis skrip dan penerbit, Zeffirelli mempunyai kira-kira 20 filem berkait namanya.

Di peringkat antarabangsa, dia terkenal sebagai pengarah filem ‘Romeo dan Juliet’ pada 1968 dan pernah dicalonkan untuk Anugerah Academy.

Zeffirelli turut mengarah filem ‘Hamlet’ pada 1992 lakonan Mel Gibson dan Glenn Close, filem ‘The Taming of Shrew’ pada 1967 dilakonkan oleh Elizabeth Taylor dan Richard Burton serta lebih 30 drama dan opera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 10:17 PM