LELAKI yang dirantai ketika makan di sebuah restoran di Peru.
Agensi

LIMA: Sebuah restoran di Peru dikecam selepas bertindak merantai pendatang Venezuela yang makan di restoran itu bagi mengelak mangsa melarikan diri daripada membayar harga makanan.

Gambar yang tersiar di media sosial menunjukkan lelaki pendatang Venezuela itu dirantai di tempat duduknya, baru-baru ini.

Ramai penduduk Venezuela berhijrah ke negara jiran, termasuk Peru berikutan kemiskinan dan kesusahan hidup di negara mereka yang dilanda krisis ekonomi serius.

Menurut laporan Oddity Central, gambar berkenaan dimuat naik di Twitter oleh wartawan Venezuela, Luis Martinez, yang juga penulis untuk La Patilla.

Dalam akaun Twitternya, Martinez mendakwa lelaki itu yang wajahnya dikaburkan, tidak tahu dia akan dirantai di tempat duduk dan dia merakam gambar berkenaan sebagai bukti.

“Saya menyiarkan gambar itu bersama lebih banyak maklumat kerana ada yang meragui kesahihan kejadian itu.

“Lelaki di dalam gambar berkenaan yang meminta namanya dirahsiakan, mendakwa dia tidak tahu ‘peraturan’ restoran itu sehinggalah duduk dan memesan makanan,” kata Martinez.

Lelaki itu merakam beberapa gambar sebelum keluar dari restoran itu tanpa menjamah makanannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 10:23 PM