DUTERTE melarang anaknya daripada mengikut jejaknya.
Agensi

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, menyatakan kesal menjadi presiden dan meminta ahli keluarganya tidak mengikut jejak langkahnya kerana beban perlu ditanggung amat berat.

Menurut Daily Express, ketika berucap di Cagayan De Oro City minggu lalu, Duterte mendedahkan rasuah berleluasa serta kritikan terhadap pemerintahannya menyebabkan dia hilang motivasi untuk meneruskan pentadbirannya.

“Saya hilang minat untuk bekerja. Sejujurnya, saya minta maaf. Saya menyesal kerana terlalu ingin menjadi Presiden Filipina,” katanya yang dilaporkan PhilStar.

Anak perempuannya, Sara Duterte-Carpio yang juga dikenali sebagai Inday Sara, kini menjadi Datuk Bandar Davao City, jawatan sama pernah dipegang Duterte sebelum menjadi presiden.

Apabila muncul spekulasi Sara berpeluang menjadi presiden, Duterte mengakui melarang anaknya daripada mengikut jejaknya.

“Saya memberitahunya agar jangan lakukannya kerana dia tidak kuat untuk menghadapi cabaran sebagai presiden negara ini. Tanpa kekuatan itu, dia tidak akan dihormati,” katanya.

ABS-CBN melaporkan, Duterte turut kesal dengan amalan rasuah dalam kerajaan Filipina yang dianggapnya ‘tidak akan dapat diatasi’.

“Saya tidak perlu menipu rakyat. Saya sudah muak dan bosan dengan sistem pentadbiran sedia ada,” kata presiden berusia 74 tahun itu.

Wujud spekulasi Duterte tidak mampu mempertahankan jawatan presiden berikutan keadaan kesihatannya yang merosot namun dia menafikannya sebaliknya menegaskan akan bertanding lagi pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 10:28 PM