SERIGALA kelabu India ditemui mati akibat dipukul sekumpulan petani. FOTO/AGENSI
AFP

DHAKA: Serigala kelabu India yang kali terakhir dilihat di Bangladesh kira-kira lapan dekad lalu, ditemui mati akibat dipukul sekumpulan petani, selepas ia didapati membaham haiwan ternakan mereka baru-baru ini.

Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi, serigala itu kali terakhir dilihat di Bangladesh pada 1949 dan haiwan itu kali pertama dikesan di India.

Serigala itu dilaporkan dibunuh penduduk bandar berhampiran Sundarbans, yang memiliki hutan paya bakau terbesar di dunia meliputi wilayah India dan Bangladesh.

Haiwan itu ditangkap selepas menyerang ternakan penduduk bandar terbabit.

“Berdasarkan gambar, kami mengesahkan bahawa haiwan itu adalah serigala kelabu,” kata pakar hidupan liar dari Institut Hidupan Liar di India, Y.V Jhala kepada AFP.

Katanya, masih terdapat kira-kira 3,000 serigala berkenaan di seluruh India, termasuk dalam kurungan.

Bagaimanapun, serigala itu dikatakan hilang dari kawasan habitat semula jadinya di utara dan barat laut Bangladesh pada 1940-an.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 9:09 PM