CHANGI Airport.
AFP

SINGAPURA: Puluhan penerbangan ditangguhkan di Lapangan Terbang Changi, Singapura selepas sebuah dron dikesan berlegar di kawasan berkenaan, kata pihak berkuasa hari ini.

Salah satu landasannya ditutup sementara waktu dari petang semalam sehingga pagi ini, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura.

Kira-kira 37 penerbangan ditangguhkan dan satu daripada penerbangan ke Singapura dilencongkan ke Malaysia, kata agensi itu.

Pihak berkuasa melancarkan siasatan bagi mengenal pasti dron berkenaan.

Adalah menjadi satu kesalahan serius di negara republik itu sekiranya dron diterbangkan dalam jarak lima kilometer dari lapangan terbang tanpa permit, lapor akhbar Straits Times.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 9:47 PM