EMOJI ‘OK’ yang menjadi punca seorang pekerja dipecat di China.
Agensi

BEIJING: Seorang pekerja sebuah syarikat di selatan China dipecat oleh pengurusnya selepas membalas pesanan dengan menggunakan emoji ‘OK’ di kumpulan sembang syarikat di aplikasi WeChat.

Daily Mail melaporkan, wanita yang bekerja di Changsha, wilayah Hunan itu diminta oleh pengurusnya untuk mengumpul dan menghantar dokumen menerusi aplikasi mesej terbabit, minggu lalu.

Dia menerima arahan itu tanpa bantahan sebelum menghantar emoji terbabit namun ia dianggap perbuatan tidak berdisiplin oleh pengurusnya lalu memecat wanita malang berkenaan.

“Awak sepatutnya menaip ‘diterima’ sekiranya sudah menerima mesej saya. Adakah ini cara awak mengesahkan bahawa mesej sudah diterima?” soal pengurus itu menerusi mesej ringkasnya.

Pengurus itu yang bertegas mempertahankan tindakannya terus meminta pekerja terbabit menghubungi jabatan sumber manusia untuk memaklumkan dia dipecat.

Tangkap skrin mengenai perbualan mereka kemudiannya menjadi tular di media sosial dan mendapat lebih 280 juta tontonan di ruang topik ‘Pekerja dipecat kerana membalas mesej dengan emoji di kumpulan sembang.’

Pekerja yang tidak dikenali itu kemudiannya mengesahkan kejadian terbabit kepada Btime pada Jumaat lalu sambil menjelaskan, peletakan jawatannya masih dalam proses.

“Benar, peletakan jawatan masih dalam proses. Saya sudah kerja selama bertahun-tahun dan ini adalah kali pertama melalui situasi bodoh seperti ini.

“Saya bukanlah orang yang mudah marah dan boleh mengawal perasaan. Rakan sekerja lain juga bersetuju bahawa majikan kami agak melampau,” katanya.

Netizen yang turut menyokong pekerja wanita itu memberi komen bahawa reaksi pengurus itu agak keterlaluan apabila menggunakan alasan remeh untuk memecat pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:45 AM