BARTLETT
Agensi

MANCHESTER: Seorang lelaki yang menawarkan skim cepat kaya dan menipu wang berjumlah £4.5 juta (RM24 juta) dan membelanjakan wang itu untuk melanggan pelacur dan bercuti ke luar negara hanya diarahkan mahkamah membayar £1,015 (RM5,326).

Mail Online melaporkan, Neil Bartlett, 53, menyamar sebagai penasihat kewangan untuk menipu wang pencen dan simpanan beberapa individu dalam satu pelaburan yang menawarkan faedah yang tinggi.

Bagaimanapun, dia berjoli sakan dengan melanggan pelacur, bercuti ke luar negara dan membuat pelaburan di pasaran saham.

Dia juga sanggup menipu wang pencen seorang wanita tua dan mengambil wang berjumlah £740,000 (RM3.9 juta) daripada beberapa rakannya yang dikenali sejak sekolah rendah lagi.

Lancs Live melaporkan, pada Disember lalu Bartlett yang berasal dari Delamere Road, Ainsdale dihukum penjara selama lapan tahun selepas mengaku salah atas 14 tuduhan menipu.

Bartlett ditangkap sebulan sebelum itu ketika tiba di Lapangan Terbang Manchester selepas bercuti di Russia.

Pada Jumaat lalu, dia didakwa sekali lagi di Mahkamah Liverpool mengikut Akta Jenayah Hasil untuk merampas harta yang dimilikinya hasil penipuan berkenaan.

Bagaimanapun, hakim hanya mengarahkan Bartlett membayar £1,015 iaitu wang tunai yang dirampas daripadanya ketika dia ditahan.

Walaupun penipuan Bartlett bernilai jutaan pound tetapi mahkamah hanya mampu menuntut wang yang ditemui daripadanya.

Sementara itu, jurucakap polis Merseyside memberitahu, kemungkinan lebih banyak wang lelaki itu dituntut masih terbuka kerana siasatan mengenai aset dan harta lelaki itu masih berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:10 AM