PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. FOTO REUTERS
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. FOTO REUTERS
AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam mengumumkan sekatan baru secara besar-besaran terhadap Iran ketika Tehran memberi amaran kepada Washington, mana-mana serangan akan menyaksikan kepentingannya di seluruh Asia Barat musnah.

Perang mulut itu semakin sengit selepas Trump menarik balik tindakan ketenteraan ke atas Iran sebagai tindak balas selepas Tehran menembak jatuh dron pengintipan AS.

Insiden itu, yang berlaku selepas siri serangan kapal tangki yang didakwa AS dilakukan Iran, memburukkan lagi hubungan sedia tegang antara kedua negara. Iran menafikan bertanggungjawab atas serangan terbabit.

Trump yang menghabiskan masanya semalam bersama penasihatnya di Camp David pada mulanya memberitahu media, dia berminat menjadi ‘sahabat baik’ Iran, jika negara itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata nuklear.

“Apabila mereka bersetuju, mereka akan menjadi sebuah negara kaya. Mereka akan gembira dan saya akan menjadi sahabat baik. Saya berharap ia akan berlaku,” katanya kepada media di luar Rumah Putih.

Satu perjanjian antarabangsa dicapai Tehran dan kuasa dunia pada 2015 bertujuan mengekang cita-cita nuklear Iran sebagai pertukaran penarikan sekatan, namun AS keluar daripada perjanjian itu lebih setahun lalu dengan sekatan ekonomi ketat.

“Kami meletakkan tambahan sekatan besar-besaran ke atas Iran pada Isnin. Saya tidak sabar menunggu pada hari sekatan ditarik balik daripada Iran dan mereka menjadi negara produktif dan makmur sekali lagi. Lebih cepat lebih bagus!” tweet Trump yang turut menghantar tentera tambahan ke Asia Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 9:57 AM