GAMBAR Hiasan.
Agensi

SINGAPURA: Seorang jururawat lelaki dipenjara 12 minggu semalam, kerana merakam video dan mengambil gambar rakan setugas wanita dalam tandas sebuah hospital di sini.

Pesalah berusia 27 tahun itu menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar dan video sekurang-kurangnya lapan wanita menerusi ruang di bawah dinding tandas kakitangan sekitar Mei tahun lalu.

Menurut Channel News Asia, antara gambar dalam simpanan lelaki itu termasuk mangsa menyalin pakaian dan kencing.

Perbuatannya terbongkar selepas seorang jururawat yang menyalin pakaian ternampak telefon bimbit pesalah di bawah dinding ketika memakai kasutnya pada 11 Mei tahun lalu.

Pendakwa raya meminta hukuman penjara selama 14 minggu, namun peguam bela meminta dikurangkan kepada enam minggu kerana anak guamnya sudah dimaafkan teman wanitanya.

Hakim Adam Nakhoda menganggap penjara enam minggu adalah ringan dan menjatuhkan hukuman kepada 12 minggu selain memerintahkan telefon bimbit pesalah diserahkan kepada polis untuk dilupuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 11:07 PM