ERWAN Ferrieux (kiri) dan Hugo Palmer.
Reuters

SYDNEY: Beberapa tulang manusia ditemui bulan lalu di kawasan pantai dipercayai milik lelaki Perancis yang dilaporkan hilang sejak Februari lalu, kata polis Australia.

Erwan Ferrieux, 21, dilihat kali terakhir bersama pelancong British, Hugo Palmer, lima bulan lalu berdekatan Port Macquarie, sebuah bandar pelancongan terkenal yang terletak kira-kira 385 kilometer di utara Sydney.

Keselamatan ke atas kedua-dua pelancong muda itu dibimbangi apabila kereta sewa dan barangan peribadi mereka kelihatan terbiar.

Hasil ujian beberapa tulang yang ditemui di pantai bulan lalu mengesahkan apa yang dikhuatiri.

“Kami yakin hasil perbandingan DNA menunjukkan ia milik Erwan Ferrieux,” kata Superitendan Paul Fehon kepada wartawan di Port Macquarie.

“Beberapa tulang turut ditemui semalam dan ia sudah di hantar ke jabatan forensik untuk dianalisis bagi menentukan sama ada ia milik salah seorang pelancong muda itu.

“Tulang ini adalah sebahagian daripada anatomi,” kata Fehon.

Pada masa sama, polis sedang mencari seorang lagi pelancong warga Belgium, Theo Hayez, 18, yang hilang selama lebih sebulan.

Hayez hilang selepas meninggalkan bar di Byron Bay, sebuah bandar peranginan kira-kira 765 kilometer di utara Sydney, pada 31 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 11:39 PM