GAMBAR hiasan.
Agensi

NEW DELHI: Seorang lelaki yang marah akibat dipatuk ular sempat membalas dendam dengan menggigit reptilia berbisa itu hingga mati sebelum dia sendiri meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Mail Online melaporkan, Parvat Gala Baria, 60, meninggal dunia pada Sabtu lalu akibat dipatuk ular di muka ketika bekerja di sebuah kampung di Mahisagar.

Seorang penduduk berkata, ketika kejadian mangsa bersama beberapa penduduk kampung memindahkan jagung ke dalam sebuah trak.

“Secara tiba-tiba seekor ular keluar dari tempat simpanan jagung.

“Semua pekerja melarikan diri, tetapi Baria tidak berganjak dan berkata, ular itu ditangkapnya sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, Baria kemudian menangkap ular itu, tetapi haiwan berkenaan tiba-tiba menggigit tangan dan mukanya.

“Kerana marah, Baria menggigit semula ular berkenaan hingga menyebabkan haiwan itu mati,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudiannya Baria mula kelihatan lemah dan mereka segera membawa lelaki itu ke sebuah hospital di Lunawada.

Bagaimanapun, lelaki itu meninggal dunia beberapa jam selepas rawatan akibat racun ular itu sudah merebak ke seluruh tubuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 10:17 AM