KLINIK lelaki berkenaan disahkan beroperasi tanpa lesen dan kini ditutup.
Agensi

SEORANG doktor palsu maut selepas memakan ubatnya sendiri bagi membuktikan kepada pesakitnya bahawa ramuan tradisional yang dibuatnya itu tidak membahayakan dan mampu menyembuhkan penyakit.

Mail Online melaporkan, seorang pesakit wanita yang mengalami sakit belakang kembali semula ke klinik lelaki itu di Shaoguan di wilayah Guangdong untuk mengadu mengalami pening dan muntah selepas memakan ubat tradisional yang diberinya.

Bagi membuktikan ubatnya tidak membahayakan, doktor palsu itu yang dikenali sebagai Cui memakan sedikit.

Tidak lama kemudian dia mula berasa pening dan muntah-muntah hingga terpaksa dikejarkan di hospital, tetapi dia meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.

Pakar kimia kemudian mengesahkan ramuan yang digunakan lelaki itu mengandungi satu spesies tumbuhan yang sangat beracun.


Gambar kecil, pesakit wanita dirawat selepas memakan ubat yang diberi doktor palsu itu, tetapi keadaannya stabil. - Agensi

Pihak berkuasa juga mengesahkan klinik berkenaan beroperasi secara haram dan lelaki itu tidak mempunyai sebarang kelayakan dalam bidang perubatan.

Pesakit wanita itu yang dikenali sebagai Xiao turut dirawat di hospital akibat keracunan dan kegagalan organ, tetapi stabil selepas menerima rawatan.

Wanita itu memberitahu, dia datang ke klinik lelaki itu yang mengaku doktor untuk merawat sakit belakang yang dialaminya.

“Doktor itu mengurut belakang saya dan memberikan satu campuran serbuk di dalam air untuk saya minum.

“Selepas pulang ke rumah saya mula berasa pening dan muntah-muntah menyebabkan saya dan suami kembali semula ke klinik itu untuk berjumpa doktor berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 10:31 AM