Skip this ad x
KESAN melecur di kaki david dan vape miliknya yang meletup.
Agensi

LONDON: Seorang lelaki trauma seumur hidup akibat melecur teruk selepas rokok elektronik atau vape yang disimpan dalam seluar menjadi cair dan meletup.

Daily Mail melaporkan, kejadian berlaku baru-baru ini ketika David Charlton, 52, baru saja tiba di tempat kerja sebelum terdengar objek terbakar dalam poket kiri seluarnya.

Seluarnya secara tiba-tiba terbakar selepas itu manakala vape berkenaan cair hingga terkena tempat duduk di dalam van sebelum menghasilkan letupan kuat.

Kejadian menakutkan itu menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke hospital di Newcastle untuk menerima rawatan akibat melecur.

“Ia meletup seperti roket dan mengejutkan semua orang. Saya seperti tidak percaya dan tidak pernah mengalami perkara seperti ini. Ia amat berbahaya.

“Bagaimanapun saya masih menganggap diri bernasib baik kerana kejadian bukanlah berlaku ketika memandu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 9:53 PM