GAMBAR Hiasan.
AFP

NEW DELHI: Seorang ahli perniagaan terkemuka ditahan polis India hari ini berhubung skim Ponzi bernilai setengah bilion dolar yang didakwa menipu puluhan ribu mangsa kebanyakan terdiri daripada pelabur Islam.

AFP melaporkan, Mohammed Mansoor Khan ditahan di lapangan terbang New Delhi sebaik pulang dari Dubai selepas membubarkan syarikatnya yang dilanda kontroversi bulan lalu.

Dia yang mengasaskan I Monetary Advisory (IMA) Group di Bangalore pada 2006 menawarkan pulangan lumayan kepada lebih 100,000 pelabur berdasarkan prinsip kewangan Islam.

Bagaimanapun, beberapa bulan lalu hampir 50,000 pelabur mengadu bahawa syarikat terbabit gagal membuat pembayaran sekali gus mendorong pihak berkuasa melakukan siasatan di selatan negeri Karnataka.

Lebih 20 orang termasuk pegawai atasan kerajaan negeri ditahan selepas skim itu melakukan penipuan membabitkan wang mencecah AS$580 juta (RM2.3 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 11:53 PM