KIM berjaya menghasilkan kerusi roda untuk ikan emas peliharaannya. - Agensi
Agensi

SEOUL: Seorang pereka fesyen berjaya membina kerusi roda untuk ikan emas kesayangannya yang sukar berenang akibat kecacatan di Seoul.

Daily Mail melaporkan, Henry Kim, 32, berusaha mencari idea di enjin carian Google sebelum mengolahnya sendiri menggunakan bahan plastik bagi membolehkannya membantu ikan itu terapung.

Ikan terbabit mengalami penyakit pundi renang yang menyebabkannya sama ada terapung secara terbalik atau tenggelam di dalam akuarium.

Menurut Kim, sebelum ini banyak daripada ikan emas peliharaannya mati akibat penyakit itu sekali gus mendorongnya mencari jalan menyelamatkan ikan terbabit.

Dia memelihara lebih 20 ikan emas di dalam tiga akuarium yang diletakkan di rumahnya.

“Penyakit pundi renang boleh berpunca daripada pelbagai sebab seperti terlebih makan atau air yang kotor.

“Keadaan ini sering terjadi kepada ikan emas yang diimport dari Thailand atau China.

“Ikan emas yang mengalami penyakit ini hanya boleh hidup untuk beberapa bulan saja dan saya amat bertuah kerana kerusi roda ini memberi peluang ikan peliharaan hidup sehingga lima bulan. Ia membantunya terapung dan hidup lebih lama,” katanya.

Pada 2017, terdapat seorang pekerja akuarium berkongsi gambar di akaun Twitter menunjukkan seekor ikan menggunakan kerusi roda buatan sendiri.

“Saya menggunakan tiub yang biasa diletakkan dalam akuarium untuk menjadikannya sebagai kerusi roda.

“Saya menambah injap pada bahagian bawah yang berfungsi sebagai kerusi untuk ikan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 10:59 AM