DUA pelancong dari Jerman yang diarah meninggalkan Venice kerana membancuh kopi di tangga Jambatan Rialto. -Foto AFP
AFP

ROME: Dua pelancong Jerman dikenakan denda semalam kerana membuat kopi di atas tangga jambatan Rialto yang terkenal di Venice dan diarah meninggalkan bandar itu.

Kedua-dua pelancong Berlin berusia 32 dan 35 tahun itu, duduk dengan selesa di anak tangga mercu tanda terkenal dunia dan mengeluarkan peralatan membuat kopi mudah alih apabila dikesan orang ramai yang kemudian melaporkannya kepada polis, kata pihak berkuasa perbandaran dalam satu kenyataan.

Polis menggunakan undang-undang yang baru diluluskan dengan mengenakan denda 950 euro (RM4,401) kerana berkelakuan tidak sopan dan mengarahkan mereka meninggalkan bandar itu.

“Venice mesti dihormati dan individu tidak sopan yang datang ke sini dan fikir mereka boleh melakukan sesuka hati akan dihentikan, didenda sebelum dihantar pulang.

“Mulai sekarang, kami juga akan bekerjasama dengan semua kedutaan untuk memastikan identiti semua individu yang diarah untuk meninggalkan bandar ini,” kata datuk bandar, Luigi Bruganaro.

Undang-undang baharu diluluskan Mei lalu itu menekankan kelakuan sopan, kebersihan dan keselamatan di bandar air berkenaan yang memiliki populasi penduduk hanya 55,000 namun menerima kehadiran 30 juta pengunjung setiap tahun.

Peraturan itu juga melarang pelancong untuk berkelah di beberapa lokasi, mandi dalam air pancut atau tidak memakai baju di khalayak ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 12:13 PM