CÉSAR PELLI
Reuters

BUENOS AIRES: Arkitek terkemuka Argentina yang bertanggungjawab menghasilkan ciptaan ikonik, Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Malaysia, César Pelli menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 92 tahun, lapor media rasmi negara itu semalam.

Pelli yang membesar di Argentina dan menuntut dalam jurusan seni bina di Universiti Tucumán di barat laut negara itu, tampil sebagai seorang pendidik dan mengukir namanya di Amerika Syarikat.

Agensi berita Telam Argentina dan gabenor wilayah Tucuman iaitu tempat Pelli membesar turut melaporkan berita pemergian itu semalam.

Pelli pernah dilantik sebagai Dekan Sekolah Seni Bina Universiti Yale pada 1977 dan menubuhkan Cesar Pelli dan Rakan-Rakan, menurut biografi mendiang di laman web New Haven.

Studio itu berkembang dan menubuhkan cawangan di serata dunia termasuk New York, Abu Dhabi, San Francisco, Tokyo dan Shanghai.

Selain Menara Berkembar Petronas yang pada ketika itu diiktiraf sebagai bangunan tertinggi dunia, hasil ciptaan Pelli termasuk Pusat Kewangan Dunia di New York, Menara Canary Wharf di London dan projek mengubah suai Muzium Seni Moden New York.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 12:27 PM