BOMBA Kyoto sedang memeriksa bangunan Kyoto Animation yang terbakar. -Foto Reuters
Reuters

KYOTO: Sebahagian besar mangsa kebakaran di studio animasi Kyoto Animation di barat Jepun, kelmarin, berusia antara 20-an dan 30-an, kata stesen penyiaran NHK.

Kyoto Animation yang terkenal di Jepun dan luar negara untuk pelbagai cerita bersiri dan filem, dianggap sebagai pembunuhan beramai-ramai dan terburuk dalam dua dekad di negara itu dengan kadar jenayah terendah di dunia.

Seramai 15 mangsa berusia 20-an, 11 orang dalam 30-an, enam orang berumur 40 tahun dan seorang dalam lingkungan 60-an.

Manakala umur mangsa lelaki terakhir yang meninggal dunia di hospital, tidak diketahui dan namanya belum didedahkan, lapor NHK.

Kebakaran itu meragut 34 nyawa manakala berpuluh lagi kritikal, kata pihak berkuasa.

Studio ini mempunyai kira-kira 160 pekerja dengan purata berumur 33 tahun, menurut laman web syarikat.

Polis sudah mengesahkan identiti suspek sebagai Shinji Aoba, tetapi enggan mengulas lanjut.

Lelaki yang disyaki membakar bangunan itu disabitkan dengan rompakan dan melakukan serangan itu kerana dia percaya studio itu plagiat novelnya, kata NHK dan media tempatan lain.

Polis belum menahannya kerana dia kini sedang dirawat disebabkan parah melecur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 1:28 PM