GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

FLORIDA: Berang isterinya curang, seorang lelaki menyerbu masuk rumah jirannya di sini, sebelum mengacukan pistol kepada kekasih isterinya itu dan mengikatnya sebelum memotong zakar mangsa dan melarikan organ berkenaan.

Menurut polis, Alex Cesar Bonilla, 49, yang memotong zakar lelaki itu dengan gunting ditahan kerana menyerang dan mencederakan mangsa selepas memecah masuk rumah Tomas Martinez-Gomez, 32, di Bell, Florida, minggu lalu.

Menurut Daily Mail, suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dengan membawa bersama organ yang dipotongnya.

WBBH melaporkan, polis bergegas ke rumah mangsa iaitu rumah bergerak selepas lelaki itu menghubungi talian kecemasan meminta bantuan.

Gomez memberitahu polis bahawa Bonilla, iaitu jirannya, memasuki rumahnya dan mengancam untuk membunuhnya jika melawan.

Menurutnya, Bonilla membawanya ke bilik tidur sebelum dia diikat dan dipotong kemaluannya.

Menurut polis, dua kanak-kanak turut berada dalam rumah berkenaan ketika kejadian.

Pejabat Syerif Daerah Gilchrist menyatakan motif serangan itu masih dalam siasatan namun menurut laporan tangkapan, Bonilla ‘menangkap’ isterinya dan Gomez melakukan hubungan seks beberapa minggu lalu.

WCJB melaporkan, suspek berjaya ditahan di tempat kerjanya di sebuah ladang Alliance Dairies di Brandford dan kini ditahan di penjara daerah Gilchrist kerana gagal membayar ikat jamin AS$1.25 juta (RM5.13 juta).

Sementara itu, mangsa dilaporkan masih berada di hospital dan semakin pulih daripada kecederaannya namun polis tidak menyatakan apa yang berlaku terhadap kemaluannya.

Laporan kepada media oleh polis bagaimanapun menyatakan, usaha mengesan bukti tambahan yang dilakukan, gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 8:01 AM