GAMBAR HIASAN
Reuters

LISBON: Lebih 1,000 anggota bomba dikerahkan untuk memadam tiga kebakaran besar hutan yang melanda tengah Portugal sekali gus memaksa penduduk sebuah kampung dipindahkan ke kawasan selamat.

Reuters melaporkan, kebakaran bermula tengah hari semalam di Castelo Branco di daerah yang terletak kira-kira 225 kilometer di timur laut Lisbon.

Bagaimanapun, usaha memadam kebakaran agak sukar dilakukan berikutan angin kuat.

Menurut Perlindungan Awam Portugal, seorang mangsa terpaksa dihantar ke hospital Lisbon dengan menaiki helikopter akibat melecur selain tujuh anggota bomba turut dilaporkan cedera.

Kebakaran itu dilaporkan turut merebak ke Macao di daerah Santarem yang dijangka merekodkan suhu mencecah 34 darjah celcius hari ini.

Sementara itu, datuk bandar Vila de Rei, Ricardo Aires memberitahu stesen televisyen RTP mereka kekurangan sumber dan anggota bomba untuk dihantar memadam kebakaran.

Pasukan tentera pula berkata seramai 20 anggota mereka dalam perjalanan untuk membantu operasi dan membawa empat jentolak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 10:57 AM