SUN ketika membuat sesi siaran langsung di internet.
Agensi

BEIJING: Seorang lelaki maut ketika membuat sesi siaran langsung di internet selepas membuat aksi berani dengan menelan lipan berbisa dan cicak gecko secara hidup-hidup semata-mata untuk menarik minat penonton.

Lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Sun itu ditemui mati di rumahnya di Hefei, wilayah Aunhui oleh teman wanitanya pada Sabtu lalu, lapor media tempatan.

Daily Mail melaporkan, dua hari kejadian, mangsa yang membuat siaran langsung di platform DouYu meminum alkohol dalam kuantiti yang banyak dan menelan lipan, cicak gecko dan ulat.

Kali terakhir dia dilihat menerusi siaran langsung pada jam 7.53 malam Khamis lalu sebelum teman wanitanya datang ke rumah untuk memeriksa keadaan mangsa yang kemudiannya ditemui mati.

Xinan Evening News melaporkan, dia yang mempunyai 15,000 pengikut di akaun DouYu, membuat siaran langsung pada setiap malam dengan memusing roda dan melakukan cabaran yang ditulis termasuk menelan hidupan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:09 PM