STESEN minyak di Focence berhampiran Fiumicino rosak teruk akibat puting beliung. FOTO AFP
STESEN minyak di Focence berhampiran Fiumicino rosak teruk akibat puting beliung. FOTO AFP
AFP

ROME: Ribut buruk dan banjir kilat yang melanda Itali meragut tiga nyawa sepanjang minggu ini termasuk seorang wanita yang terperangkap dalam puting beliung berhampiran Lapangan Terbang Fiumicino, Rome.

AFP melaporkan, kejadian itu berlaku selepas seminggu negara itu dilanda gelombang panas.

Wanita berusia 26 tahun itu dikatakan memandu pulang kira-kira jam 2 pagi sebelum ditiup puting beliung dan kenderaan itu terhempas pada pembahagi jalan.

Manakala di bahagian utara pula, seorang lelaki berusia 45 tahun yang menyertai acara ultra marathon di pergunungan Dolomite maut selepas dipanah petir ketika berlari pada ketinggian 2,000 meter.

Seorang lagi mangsa membabitkan warga emas berusia 70 tahun yang maut selepas keretanya dihanyutkan banjir di utara Tuscany.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 12:13 AM