ANTARA mangsa kejadian tembakan di Ohio. -Foto Daily Mail
Agensi

IBU yang baru bersalin anak kedua dua bulan lalu dan bapa beranak empat antara sembilan mangsa yang terbunuh dalam kejadian tembakan di Daytona, Ohio, yang turut meragut nyawa adik perempuan penyerang.

Lima lelaki dan empat wanita terbunuh manakala 27 lagi cedera apabila Connor Betts, 24, melepaskan tembakan di luar sebuah bar yang sesak jam 1 pagi waktu tempatan kelmarin, sebelum dia mati ditembak polis.

Menurut pihak berkuasa, jika polis lambat bertindak menumpaskan Betts yang memakai jaket kalis peluru dan topeng, lebih ramai akan terbunuh kerana penyerang terbabit mempunyai kelopak peluru simpanan senjata apinya.

Daily Mail melaporkan, Datuk Bandar Dayton, Nan Whaley berkata, Betts yang menggunakan raifal .223 kaliber mempunyai kelopak peluru tambahan yang panjang, melepaskan tembakan dari jalan raya.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Lois Ogelsby, 27, Saeed Saleh, 38, Derek Fudge, 57, Logan Turner, 30, Nicholas Cumer, 25, Thomas McNichols, 25, Beatrice Curtis, 36, Monica Brickhouse, 39, dan adik perempuan penyerang, Megan Betss, 22.

Dayton Daily News melaporkan, Oglesby baru melahirkan anak kedua pada Jun lalu, manakala McNichols ialah bapa beranak empat.

Daily Mail melaporkan, Betts membawa adik perempuannya ke tempat kejadian sebelum menurunkan wanita itu dan Betts meletak kereta.

Menurut polis, Betts memulakan serangannya selepas meletak kereta, menembak mangsa pertama di tempat letak kereta sebelum dia keluar ke jalan raya dan berlari ke arah bar Ned Peppers sambil melepaskan tembakan, membunuh lapan lagi mangsa, termasuk adiknya.

Teman lelaki adiknya juga terkena tembakan namun hanya cedera.

Anggota polis yang tiba di tempat kejadian, tidak sampai seminit selepas Betts memulakan tembakan berjaya menembak mati penyerang itu.

Meskipun beberapa lelaki dan wanita Afrika-Amerika terbunuh dalam serangan itu, polis tidak menemui petunjuk perkauman sebagai motif Betts melakukan serangan itu.

Polis yang menggeledah rumahnya menemui tulisan menunjukkan Betts mempunyai minat untuk membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 8:30 AM