JEMAAH haji kini berada di Arafah untuk melaksanakan wukuf.
AFP

MAKKAH: Peniaga di Makkah meraih keuntungan besar sempena musim haji sekarang, termasuk perniagaan makanan segera dan minuman.

“Perniagaan amat baik. Ramai pelanggan adalah rakyat asing yang bercakap semua bahasa,” kata Faisal Addais yang kedainya berhampiran Masjidilharam.

Peniaga dari Yaman berusia 41 tahun itu menjual barangan cenderamata agama.

Bagi mengatasi masalah bahasa, urus niaga dilakukan dengan bantuan mesin pengira.

Peniaga runcit, Ali, berkata jualannya meningkat lima kali ganda ketika musim haji yang tahun ini menyaksikan Makkah menerima 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia.

Menunaikan haji dalam rukun Islam adalah wajib sekurang-kurangnya sekali bagi yang berkemampuan.

Kebanjiran jutaan jemaah menarik peniaga kecil ke bandar suci itu dengan kebanyakannya menjual barangan berkaitan Islam, termasuk replika Kaabah buatan China serta jam loceng melaungkan azan, malah ada yang menjual air didakwa air zam-zam.

“Pada masa dahulu, jemaah haji berniaga bagi membiayai perbelanjaan mereka menunaikan haji tetapi kini, kerajaan Arab Saudi membina pusat beli-belah menggantikan bazar lama di sekitar Masjidilharam,” kata Luc Chantre yang menulis beberapa buku mengenai haji era moden.

Pusat beli-belah berhawa dingin dekat Masjidilharam menjual barangan berjenama terkenal dikunjungi jemaah hampir sepanjang masa, kecuali ketika waktu solat.

Selain cenderamata, jemaah juga boleh membeli barangan kemas, jam tangan, pakaian dan pelbagai lagi.

Restoran dan kedai makanan segera, sama di lorong sempit atau di kawasan medan selera utama dipenuhi jemaah sepanjang masa.

‘Pelancongan’ keagamaan, terutama haji dan umrah menghasilkan pendapatan berbilion ringgit setahun kepada Arab Saudi menjadikannya pendapatan penting selepas minyak bagi memacu ekonomi negara kelahiran Islam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 9:49 AM