PIHAK berkuasa menutup dua restoran di Shandong.
PIHAK berkuasa menutup dua restoran di Shandong.
Agensi

SHANDONG (China): Dua restoran di Boxing ditutup pihak berkuasa selepas video pekerja mencuci pinggan menggunakan air dari lopak tular di media sosial baru-baru ini.

Satu video memaparkan seorang pekerja lelaki cangkung di hadapan sebuah restoran sambil membasuh pinggan dalam lopak air, lapor South China Morning Post.

Dalam video kedua, seorang wanita mengaut air kotor ke dalam besen yang mengandungi pinggan mangkuk dari lopak di hadapan sebuah restoran barbeku Korea.

 WANITA menggunakan air lopak untuk mencuci pinggan.
WANITA menggunakan air lopak untuk mencuci pinggan.

Kenyataan pihak berkuasa dalam Weibo mengesahkan kesahihan video itu dan pegawai kesihatan sudah membuat siasatan di premis berkenaan.

Dua restoran terbabit diarahkan ditutup dan pihak berkuasa berjanji akan mengenakan hukuman setimpal.

Tahap kebersihan kedai makan di China dikatakan teruk, malah restoran popular turut dilaporkan mengalami masalah sama.

Pada Mac lalu, cawangan restoran Grandma’s Home di Nanjing didenda 410,000 yuan (RM237,258) kerana melakukan beberapa kesalahan seperti mencuci pengelap lantai dalam sinki dan pekerjanya memijak papan pemotong.

Tahun lalu, restoran Xiaolongkan menutup tiga cawangannya selepas rakaman video mendedahkan pekerjanya tidak menjaga kebersihan dan memasak semula sisa makanan.

Pada 2017, restoran terkenal Haidilao membuat siaran langsung penyediaan makanan di beberapa cawangan Beijing di media sosial susulan siri pendedahan masalah kebersihan di dua cawangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 7:07 AM