PROTES terhadap Bashir meletus pada 19 Disember lalu selepas kerajaannya menaikkan harga roti. FOTO AFP
PROTES terhadap Bashir meletus pada 19 Disember lalu selepas kerajaannya menaikkan harga roti. FOTO AFP
AFP

KHARTOUM: Pemimpin tentera Sudan Omar al-Bashir yang memerintah selama 30 tahun, tiba di mahkamah hari ini di Khartoum untuk memulakan perbicaraannya atas dakwaan rasuah.

Bashir, 75, digulingkan pada 11 April lalu, selepas beberapa bulan bantahan ke atas rejim pemerintahannya.

Pejabat pendakwa memaklumkan, dia berhadapan dengan tuduhan memiliki mata wang asing, rasuah dan menerima hadiah secara haram.

Pada April lalu, ketua tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan memaklumkan, lebih AS$113 juta (RM471 juta) wang tunai dalam tiga mata wang asing dirampas dari kediaman Bashir.

Protes terhadap Bashir meletus pada 19 Disember lalu selepas kerajaannya menaikkan harga roti sebanyak tiga kali ganda.

Dakwaan paling serius dihadapi Bashir turut difailkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang berpangkalan di Hague termasuklah jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid sehingga tercetusnya pemberontakan pada 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:52 PM