ANTARA penunjuk perasaan yang ditahan polis Indonesia. -Foto AFP
AFP

MANOKWARI, Indonesia: Kira-kira 1,200 anggota polis dan tentera tambahan dikerahkan ke bandar Manokwari dan Sorong susulan rusuhan antara polis dengan penunjuk perasaan hari ini.

Sekitar 1,000 orang membuat bantahan di bandar Timika yang mana penunjuk perasaan membaling batu ke bangunan parlimen dan cuba merobohkan pagarnya.

Mereka dilaporkan turut membaling batu ke kediaman penduduk dan kedai, manakala ratusan penunjuk perasaan berarak di Sorong.

Di bandar Fakfak, penunjuk perasaan mengibarkan bendera Papua yang diharamkan, sebelum polis menembak gas pemedih mata apabila ada kumpulan membakar sebuah pasaraya, memusnahkan mesin juruwang automatik dan kedai.

Jurucakap polis Indonesia, Muhammad Iqbal dalam kenyataannya berkata, anggota keselamatan yang dihantar ke kawasan rusuhan tidak dilengkapi peluru dan keadaan berjaya dikawal.

Bagaimanapun, peguam hak asasi manusia, Veronica Koman berkata, langkah kerajaan menghantar anggota tambahan dikhuatiri meningkatkan ketegangan di Papua.

Kerajaan Indonesia turut bertindak memperlahankan perkhidmatan internet di beberapa kawasan Papua bagi mengelak penyebaran berita palsu, namun langkah itu dikatakan akan mencetuskan lebih banyak bantahan.

Rusuhan tercetus selepas 43 pelajar universiti Papua ditahan selepas polis melepaskan gas pemedih mata di Surabaya pada sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 9:44 PM