Skip this ad x
POLIS menembak gas pemedih mata kepada aktivis.
Reuters

HONG KONG: Polis menembak gas pemedih mata apabila aktivis mula membaling bom petrol dan batu bata pada bantahan anti-kerajaan, hari ini.

Bantahan membabitkan ribuan penunjuk perasaan itu menyebabkan empat stesen tren bawah tanah di Kwun Tong, timur Kowloon ditutup.

Penunjuk perasaan turut merosakkan tiang lampu yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan segelintir menyekat jalan dengan batang buluh.

Ini kejadian terbaru polis terpaksa menembak gas pemedih mata 10 hari selepas beberapa siri perhimpunan aman di Hong Kong.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden terbabit.

Minggu lalu, lapangan terbang Hong Kong terpaksa ditutup selepas penunjuk perasaan berhimpun di terminal utama selama beberapa hari sehingga menjejaskan lebih 1,000 penerbangan dan bertembung dengan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 8:52 PM