KERETA Chevrolet itu rosak teruk dan terhumban ke dalam parit di tepi jalan di Lebuhraya 87 Selatan. FOTO Agensi
Agensi

TEXAS (AMERIKA SYARIKAT): Tragedi menyayat hati menimpa sepasang suami isteri muda yang baru beberapa minit melangsungkan perkahwinan apabila kereta yang mereka naiki bertembung trak di lebuh raya dengan kejadian disaksikan ibu pengantin yang memandu di belakang mereka.

Daily Mail yang memetik KDFM melaporkan, Harley Joe Morgan, 19, dan Rhiannon Boudreaux Morgan, 20, menaiki Chevrolet yang bertembung dengan trak tunda yang menunda treler membawa traktor pada petang Jumaat lalu.

Lebih malang apabila nahas ngeri itu turut disaksikan ibu pengantin lelaki, Lashawna Morgan dan kakaknya Christina Fontenot yang ketika itu memandu di belakang kereta pasangan berkenaan.


MORGAN dan Rhiannon bergambar pada hari perkahwinan mereka hanya beberapa minit sebelum maut dalam nahas. FOTO Agensi

“Saya melihat mimpi ngeri menjadi kenyataan. Mereka baru berkahwin, tidak sampai lima minit. Satu-satunya yang mereka impikan adalah perkahwinan dan memulakan hidup sendiri.

“Saya nampak trak itu melanggar anak saya dan membunuh mereka. Ia akan menghantui saya sepanjang hayat. Saya tidak akan melupakannya,” kata Lashawna.

Rakaman menunjukkan kereta pasangan pengantin berkenaan rosak teruk malah terhumban ke dalam parit di tepi jalan. Pemandu lelaki trak tidak cedera, kata polis.

Pasangan dari bandar Vidor itu bercinta sejak usia remaja selepas berkenalan di sekolah rendah.

Kata Lashawna, pasangan sejoli itu mahu mengadakan majlis perkahwinan yang lebih besar pada 20 Disember depan sempena Krismas untuk diraikan bersama kawan dan seluruh keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 7:41 AM