TIMBUL (tengah) menunjukkan pisau digunakan suspek (kanan). - Agensi
Agensi

Kalimantan:Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut ditusuk pisau dibaling bapanya yang berang kerana mangsa bertengkar dengan adiknya ketika berebut kudapan.

Dalam kejadian di Palangkaraya, Kalimantan Tengah itu, remaja bernama Eko pulang dari kedai membawa roti dan susu kotak.

Sebaik memasuki halaman rumahnya, dia memberi susu berkenaan kepada adiknya, namun pertengkaran tercetus apabila kanak-kanak itu juga mahu menjamah roti berkenaan, lapor tribunnews.com.

Susulan itu ayahnya, Mardi, 45, yang sedang mengupas jagung berang dan membaling pisau ke arahnya yang secara tidak sengaja menembusi dada Eko.

Mardi yang panik sempat membawa Eko ke hospital, namun mangsa tidak dapat diselamatkan.

Susulan itu dia dilaporkan cuba menutup perbuatannya apabila memberitahu polis Eko terjatuh ke atas pisau itu ketika bertengkar dengan adiknya, malah keluarga itu juga pada mulanya enggan membenarkan jenazah remaja terbabit dibedah siasat.

Bagaimanapun, Kompas melaporkan polis mula curiga apabila siasatan mendapati keadaan tempat kejadian tidak sepadan dengan apa diceritakan Mardi.

Ketua Polis Palangkaraya, Superintendan Timbul RK Siregar berkata, berdasarkan hasil bedah siasat dan keterangan adik Eko, Mardi akhirnya mengaku perbuatannya yang tidak disengajakan itu.

Mardi juga dilaporkan memberitahu polis: “Saya melemparkan pisau itu, bukannya menikamnya. Saya menyesal seumur hidup.”

Dia kini bakal berdepan tuduhan di mahkamah dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 7:00 AM