RAKAMAN menunjukkan seorang penunjuk perasaan berdarah di kepala manakala rakannya cuba membantunya. - Agensi
PENUNJUK perasaan bersandar ke dinding kereta api ketika polis menembak semburan lada pada mereka. - Agensi
Agensi

Hong Kong: Rakaman tindakan polis Hong Kong membelasah orang ramai didakwa penunjuk perasaan dalam transit aliran ringan (MRT) dsini, menjadi viral dengan ada yang menganggap ia adalah keganasan polis terburuk sepanjang tiga bulan perhimpunan bantahan terhadap kerajaan.

Rakaman kejadian yang berlaku hujung minggu lalu, menunjukkan penumpang yang memakai topeng muka berada di atas lantai, berpelukan antara satu sama lain ketika polis menyerbu masuk ke dalam kereta api di Stesen Putera Edward.

Menurut laporan News.com.au, Seorang anggota Skuad Taktikal Khas yang juga dikenali sebagai ‘raptors’ berkawal di pintu bagi menghalang cubaan melarikan diri serta menyembur lada kepada penumpang yang bersandar di dinding.

Ada penumpang yang memakai topeng muka cuba mempertahankan diri daripada semburan itu menggunakan payung.

Rakaman itu juga menunjukkan beberapa penumpang komuter berlumuran darah akibat luka di kepala dan anggota polis bergelut merebahkan suspek bagi menahan mereka.

Jurucakap polis, Superintendan Tsui Suk-yee berkata, 63 orang ditahan termasuk 54 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 13 dan 36 tahun di stesen Putera Edward dan Mong Kok.

“Perusuh ditangkap kerana jenayah melakukan kerosakan, memiliki senjata, perhimpunan haram dan memiliki bahan peledak. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

Pada sidang akhbar, polis memberitahu mereka masuk ke stesen itu atas permintaan pengurusan kerana perusuh merosakkan mesin tiket dan bergaduh dengan penumpang.

“Kami tidak bersetuju apabila didakwa masuk ke stesen untuk memukul orang ramai.

“Anggota kami menggunakan pengalaman profesional mereka untuk membezakan perusuh yang bertindak menukar pakaian kepada penumpang biasa,” kata jurucakap polis kepada South China Morning Post.

Bantahan anti-kerajaan di Hong Kong kini masuk minggu ke-13.

Dalam tunjuk perasaan hujung minggu lalu, lebih sedozen penerbangan terpaksa dibatalkan selepas ribuan penunjuk perasaan menghalang laluan ke lapangan terbang.

Pengendali kereta api Airport Express menyatakan mereka terpaksa menggantung perkhidmatan sejak tengah hari Sabtu lalu, selepas penunjuk perasaan menyekat stesen bas lapangan terbang dan cuba menutup jalan utama ke terminal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 7:10 AM