GAMBAR HIASAN
Reuters

LONDON: Penggodam yang berkerja dengan kerajaan China didakwa menceroboh rangkaian telekomunikasi beberapa negara di Asia Tengah dan Tenggara termasuk Malaysia untuk mengesan perjalanan orang Uighur.

Pendedahan itu dibuat oleh dua pegawai perisikan dan dua perunding keselamatan yang menyiasat serangan itu kepada Reuters.

“Serangan itu adalah sebahagian kempen meluas perisikan siber yang mensasarkan individu profil tinggi seperti diplomat dan pegawai tentera asing,” kata sumber itu.

China juga menjejak pergerakan etnik Uighur, kumpulan minoriti Islam yang dianggap satu ancaman kepada Beijing.

Tambah sumber itu, dalam sebahagian kempen perisikan berkenaan, beberapa kumpulan penggodam menceroboh operator telekomunikasi di beberapa negara termasuk Turki, Kazakhstan, India, Thailand dan Malaysia.

Negara berkenaan sering digunakan sebagai laluan transit oleh etnik Uighur untuk perjalanan dari Xinjiang, China ke Turki.

China sering menafikan pembabitan negara itu dalam serangan siber dan menegaskan sebarang tuduhan perlu disokong dengan bukti kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 11:21 AM