REPLIKA ‘Kamuysaurus japonicus’ di pameran Dinosaur Expo 2019, Tokyo. FOTO AFP
AFP

TOKYO: Saintis Jepun mengenal pasti spesies baru dinosaur selepas menemui rangka yang hampir lengkap dan terbesar pernah ditemui di negara itu, berukuran lapan meter panjang.

Pasukan yang diketuai Universiti Hokkaido memberitahu, rangka itu dikaitkan dengan spesies baru dinosaur hadrosaurid, seekor haiwan herbivor di bumi pada akhir zaman Batu Kapur, selepas mebuat analisa ke atas ratusan tulang berusia sejak 72 juta tahun lalu.

Separuh daripada ekor dinosaur itu ditemui di utara Jepun pada 2013 dan kerja-kerja penggalian seterusnya menemukan seluruh rangka spesies.

Dinosaur itu diberi nama ‘Kamuysaurus japonicus,’ bermaksud ‘tuhan naga Jepun,’ menurut kenyataan yang dikeluarkan universiti berkenaan.

Mereka percaya ia adalah dinosaur dewasa berusia sembilan tahun dengan berat antara empat hingga 5.3 tan bergantung sama ada ia berjalan dengan dua kaki atau empat kaki.

Kamuysaurus japonicus mungkin tinggal di kawasan pesisiran pantai, habitat yang jarang berlaku untuk dinosaur pada zaman itu dan fosil itu juga memberikan maklumat berharga alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 6:11 PM