RIBUAN lalat hinggap di atas beras yang dijual di pasar Karachi. FOTO AFP
AFP

KARACHI: Pusat komersial Pakistan dilaporkan diserang ribuan lalat setiap kali negara itu berhadapan dengan musim tengkujuh sekaligus mencatatkan rekod tertinggi kali ini.

Hujan lebat sejak berminggu lalu menyebabkan Karachi dilimpahi banjir, memburukkan lagi sistem perparitan yang tersumbat dipenuhi sampah. Akibatnya, sisa kumbahan melimpahi penempatan penduduk.

“Saya tidak pernah melihat jumlah lalat sebanyak itu sepanjang hidup. Kumpulan lalat yang membentuk seperti awan menghurung makanan di pasar. Sangat menjijikkan apabila ia menghurungi buah-buahan sehingga buah itu tidak kelihatan,” kata penduduk Karachi, Abdul Aziz, 45, kepada AFP.


PEKERJA melakukan semburan kabus bertujuan membunuh lalat dan nyamuk di sekitar kawasan itu. FOTO AFP

Peniaga daging, Zahid Ali berkata kehadiran ribuan lalat menjejaskan perniagaannya menyebabkan pelanggan enggan membeli di sebuah pasar di Surjani, tempat dia berniaga.

Aktivis hal ehwal kesihatan dan pakar bedah terkemuka Karachi, Shershah Syed, berkata pelbagai jenis penyakit dilaporkan meningkat susulan kehadiran lalat dan nyamuk.

“Jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat cirit-birit turut meningkat beberapa kali ganda tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 10:23 PM