SUSPEK bakar suami dan anak tirinya bersama kereta yang ditinggalkan di tepi jalan. FOTO kompas.com
Agensi

JAKARTA: Berang suami enggan menjual rumah pusaka untuk melangsaikan hutang RM2.97 juta, seorang wanita membayar empat pembunuh upahan untuk membunuh lelaki itu dan anak tirinya, baru-baru ini.

Dalam kejadian bulan lalu, Aulia Kesuma, 35, mengupah lelaki berkenaan untuk membunuh Edi Chandra Purnama, 54, dan M Adi Pradana, 23, di rumah mereka di Lebak Bulus, Jakarta Selatan.

Lelaki berkenaan meletakkan mayat mangsa dalam kereta yang ditinggalkan di stesen minyak Cireundu, lapor Kompas.com.

Pada jam 7 pagi 25 Ogos lalu, Aulia ditemani seorang anak memandu kereta itu ke satu lokasi di Cidahu, Jawa Barat dan dalam perjalanan wanita terbabit singgah membeli minyak petrol.

Dia memberhentikan kereta di bahu jalan dan mengarahkan anaknya untuk membakar kenderaan itu.

Ketua Polis Sukabumi, Superintendan Nasriadi dipetik Detik.com berkata, Aulia membuat pinjaman bank atas namanya berjumlah 7 bilion rupiah (RM2 juta), 2.5 bilion rupiah (RM748,000) atas nama dia dan suaminya selain itu turut mempunyai tunggakan kad kredit 500 juta rupiah (RM149,000).


AULIA upah empat lelaki untuk bunuh suami dan anak tirinya.

Menurut Nasriadi, pasangan berkenaan merancang menggunakan pinjaman itu untuk mengusahakan beberapa perniagaan termasuk restoran, namun gagal.

“Suspek memujuk mangsa menjual rumah mereka untuk melangsaikan hutang itu, namun mangsa enggan kerana ia harta pusaka peninggalan ibu bapanya,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, Aulia sakit hati dan nekad mengupah pembunuh upahan untuk membunuh suaminya dengan bayaran 500 juta rupiah.

Susulan itu, polis menahan Aulia pada 26 Ogos lalu manakala anaknya dirawat di hospital selepas badannya melecur ketika membakar kereta terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 8:02 AM