WAKIL Parti Buruh cuba menghalang Speaker keluar. FOTO Agensi
WAKIL Parti Buruh cuba menghalang Speaker keluar. FOTO Agensi
Agensi

LONDON: Parlimen Britain menjadi kecoh pagi semalam apabila ahlinya membantah tindakan Perdana Menteri, Boris Johnson yang mengumumkan penangguhan sidang dewan selama lima minggu hingga 14 Oktober depan.

Ketika upacara rasmi penangguhan itu dilakukan, ahli pembangkang berasak ke tempat duduk Speaker, John Bercow sambil membawa kad yang tertera ‘silenced’ (dikunci mulut).

Suasana menjadi tidak terkawal apabila seorang wakil Parti Buruh, Lloyd Russell-Moyle, 35, kemudian berusaha menghalang Bercow keluar dewan.

Dia kemudian cuba ditarik oleh pengawal pintu dewan hingga terjatuh ke arah sekumpulan ahli pembangkang yang lain.

Bercow yang beberapa jam sebelum itu mengumumkan peletakan jawatan, menentang penangguhan yang disifatkan sebagai tidak normal sambil menegaskan dia langsung tidak peduli dengan pandangan ahli Parti Konservatif yang membantah pendiriannya.

Pada upacara itu, pegawai Parlimen, Sarah Clarke berkata, dia memerlukan kehadiran ahli di Dewan Pertuanan namun ia disambut dengan laungan ‘tidak’ oleh ahli pembangkang.

Drama itu tercetus kira-kira jam 1.30 pagi ketika ahli Parlimen membuat undian terbaru menolak cadangan Johnson untuk mengadakan pilihan raya.

Cadangan itu ditolak buat kali kedua dalam usaha Perdana Menteri itu untuk mengeluarkan Britain dari Kesatuan Eropah (EU).

AFP melaporkan, ahli Parlimen sebelum itu juga mengundi untuk mendesak kerajaan mendedahkan dokumen sulit mengenai kesediaan Britain meninggalkan EU (Brexit) tanpa perjanjian pada 31 Oktober ini.

Johnson yang mengambil alih pentadbiran pada Julai lalu berikrar melakukan perkara itu sama ada persetujuan dicapai atau tidak dengan kesatuan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 7:15 AM