KEADAAN jerebu di Jakarta. FOTO AFP
Agensi

JAKARTA: Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya akan menghantar surat protes kepada Malaysia kerana tidak berpuas hati negara itu dituduh menjadi punca utama jerebu.

Siti Nurbaya sekali lagi menegaskan bahawa kebakaran hutan dan belukar di Indonesia bukanlah punca utama jerebu yang melanda Malaysia dan Singapura ketika ini.

“Saya akan menulis surat kepada duta Malaysia di Jakarta untuk dipanjangkan kepada menterinya.

“Saya mahu data itu dibetulkan,” katanya yang dipetik Kompas.com di Istana Presiden di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan Indonesia terus memantau pergerakan asap daripada kebakaran hutan dan belukar di negara itu.

Berdasarkan pemantauan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, asap dari kebakaran itu hanya melintasi sempadan selama satu jam iaitu pada Ahad lalu.

“Asap yang masuk ke Malaysia ke Kuala Lumpur itu dari Sarawak dan kemudian dari Semenanjung Malaysia dan mungkin sebahagian dari Kalimantan Barat,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 1:40 PM