SHELINA dan suaminya Mohammed akan terus berjuang untuk anak perempuannya agar dapat dirawat di Itali. FOTO Agensi
Agensi

LONDON: Keluarga seorang budak perempuan berusia lima tahun yang mengalami kerosakan otak merayu dia dibenarkan terus menggunakan alat sokongan hayatnya selain dibenarkan menjalani rawatan di luar negara untuk membolehkannya hidup sehingga 20 tahun lagi.

The Sun melaporkan, ibu bapa Tafida Raqeeb, 5, berpendapat doktor tidak sepatutnya mematikan sistem sokongan hayat anaknya kerana ia menentang pegangan mereka sebagai Muslim yang percaya setiap usaha perlu dilakukan untuk memastikan kanak-kanak itu terus hidup.

Peguam Shelina Begum, 39, dan perunding binaan Mohammed Raqeeb, 45, juga menganggap tindakan menghalang Tafida dibawa ke sebuah hospital di Itali melanggar hak pergerakan bebas dalam Kesatuan Eropah (EU).

Peguam keluarga berkenaan, Vikram Sachdever berkata, Tafida sebenarnya mampu mendengar dan melihat mereka walaupun tidak dapat memberi sebarang tindak balas.

Disebabkan itu, mereka percaya dia mampu hidup antara 10 hingga 20 tahun.


TAFIDA seorang kanak-kanak yang ceria sewaktu sihat. FOTO Agensi

“Keluarga ini percaya mengambil nyawa adalah kuasa Tuhan bukannya di tangan manusia,” kata Sachdever dalam hujahnya di mahkamah.

Bagaimanapun, Hospital Royal London yang kini merawat kanak-kanak itu menganggap Tafida koma dan langsung tiada harapan untuk sembuh.

Malah, katanya lebih berperikemanusiaan untuk memadamkan mesin sokongan hayatnya jika keadaannya merudum.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alistair MacDonald akan menetapkan sama ada keluarga berkenaan boleh meneruskan rawatan anak perempuannya di hospital di Itali atau Hospital Royal London diizinkan untuk mematikan sistem hayatnya.

Tafida dari Newham, London Timur, ditimpa sakit pada Februari lalu disebabkan keadaan saluran darah otaknya yang jarang berlaku.

Berlainan pula dengan Hospital Kanak-kanak Gaslini di Genoa, Itali yang hanya akan mematikan talian hayat apabila kanak-kanak itu mengalami mati otak.

Peguam hospital berkenaan, Katie Gollop berkata: “Apa yang paling penting adalah kepentingan Tafida. Dia tidak boleh menelan, bergerak, merasa atau melihat.

“Memang tiada harapan untuk sembuh. Semua doktor bersetuju, malah pakar di Itali turut sependapat.

“Kerosakan otaknya terlalu teruk sehingga dia tidak mampu bernafas sendiri.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 8:23 AM