IPU pada peringkat tidak sihat iaitu 138 ekoran pembakaran hutan di Kalimantan Barat, Indonesia.
Reuters

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia di wilayah Kalimantan Barat mengetatkan peraturan untuk mengekang aktiviti pembersihan hutan oleh syarikat perladangan menerusi kaedah potong dan bakar yang dikaitkan dengan kebakaran hutan.

Reuters melaporkan, kebakaran itu berlaku di enam wilayah Indonesia sejak bulan lalu termasuk Kalimantan Barat yang terletak bersempadanan dengan kepulauan Borneo.

Beberapa negara jiran termasuk Malaysia menggesa tindakan dilakukan selepas kebakaran menyebabkan pencemaran udara, satu dakwaan yang dinafikan oleh Indonesia.

Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan untuk meletakkan tanggungjawab ke atas syarikat perladangan bagi menanggung kos memadam kebakaran, lapor agensi berita Antara.

Sutarmidji yang dipetik agensi itu berkata, semua syarikat perladangan perlu mempunyai peralatan dan tenaga secukupnya untuk memadam kebakaran.

Bulan lalu, wilayah itu mengeluarkan peraturan menggantung permit selama tiga tahun sekiranya syarikat terbabit cuai atau lima tahun jika secara sengaja melakukan pembakaran untuk membersihkan hutan, lapor agensi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 8:10 PM