KRISTINA Koedderich dan anak-anaknya. FOTO Agensi
Agensi

NEW JERSEY: Pasangan suami isteri kulit putih dari New Jersey, Amerika Syarikat, terkejut apabila anak perempuan yang dilahirkan pada 2013 melalui proses IVF mempunyai ciri-ciri orang Asia apabila usianya meningkat.

Lebih mengejutkan hasil ujian DNA membuktikan suami wanita itu bukan bapa biologi kanak-kanak berkenaan.

Menurut laporan Daily Mail, pasangan Kristina Koedderich dan Drew Wasilewski yang kini sudah berpisah, menjalani rawatan IVF di Institut Perubatan Reproduktif dan Sains (IRMS) di Saint Barnabas pada November 2012 dengan kos AS$500,000 (RM2.08 juta).

Berdasarkan dokumen mahkamah bagi kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Essex County, bayi perempuan yang lahir pada Julai 2013 itu mula menampakkan ciri-ciri orang Asia dan mempunyai masalah darah yang sering dikaitkan dengan keturunan di Asia Tenggara.

Ujian DNA pada 2015 mengesahkan Drew, 49, bukan bapa biologi kanak-kanak perempuan itu dan menurut peguam pasangan berkenaan, David Mazie yang memberitahu New York Post, kecuaian klinik berkenaan turut menyebabkan perkahwinan antara Kristina dan Drew berakhir.

Hakim Mahkamah Tinggi, Keith Lynott memerintahkan IRMS menyerahkan senarai nama lelaki yang mendermakan sperma pada tarikh pasangan berkenaan mendapatkan rawatan agar mereka dapat mengenal pasti bapa sebenar kanak-kanak itu, sekiranya dia mahu mengenali bapa biologinya pada masa akan datang.

“Mereka ingin tahu jika sperma Drew digunakan dalam rawatan IVF wanita lain dan akan menuntut ganti rugi wang kerana kesilapan klinik menyebabkan kesakitan, menderita, cedera dan cacat kekal serta hilang kualiti hidup yang menggembirakan,” kata Mazie.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 7:23 AM