SEBANYAK 2,246 sisa mayat itu ditemui di kediaman Dr Ulrich Klopfer.
Agensi

ILLINOIS: Sisa mayat lebih 2,000 janin yang diawet ditemui di kediaman seorang doktor yang menggugurkan ribuan kehamilan.

Sebanyak 2,246 sisa mayat itu ditemui di kediaman Dr Ulrich Klopfer 10 hari selepas kematiannya, oleh ahli keluarga yang membersihkan rumah berkenaan.

Peguam keluarga itu dilaporkan menghubungi pejabat koroner, Khamis lalu mengenai penemuan mereka, lapor Mail Online.

South Bend Tribune melaporkan, Klopfer dipercayai doktor paling banyak menggugurkan kandungan di Indiana.

Menurut BBC, Klopfer yang berkelayakan sebagai pakar osteopati dilaporkan menggugurkan kandungan di sebuah klinik di South Bend, Indiana, sehingga digantung lesen pada 2016, antara lain kerana gagal mematuhi prosedur termasuk mendapatkan izin pesakit 18 jam sebelum melakukan pengguguran.

Antara kes diakui dikendalikan Klopfer membabitkan budak perempuan berusia 10 tahun yang hamil diperkosa bapa saudara.


KLOPFER.

Bagaimanapun, Klopfer tidak memaklumkan polis mengenai kejadian rogol itu sebaliknya membenarkan mangsa pulang bersama ibu bapanya, yang enggan membuat laporan.

Undang-undang Indiana mewajibkan sisa janin dikebumikan atau dibakar selepas digugurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 6:49 PM