INDEKS pencemaran udara di Palangka Raya mencapai bacaan 500.
Reuters

PALANGKA RAYA: Sekolah di dua bandar di Kalimantan akan ditutup seminggu susulan asap akibat kebakaran hutan menyebabkan kualiti udara mencapai tahap bahaya, kata seorang pegawai kerajaan tempatan.

Indeks pencemaran udara di Palangka Raya, ibu negeri Kalimantan Tengah, mencapai bacaan 500 hari ini, menurut data kementerian alam sekitar dan perhutanan Indonesia. Bacaan lebih daripada 100 dianggap ‘tidak sihat’.

Ketua agensi pendidikan Kalimantan Tengah, Slamet Winaryo berkata, sekolah di Palangka Raya dan Sampit akan ditutup minggu ini selaras dengan arahan dikeluarkan gabenor wilayah itu, Jumaat lalu.

“Kami memutuskan pelajar di dua lokasi itu diberi cuti selama seminggu dari Isnin sehingga Sabtu,” katanya.

Dia tidak menyatakan jumlah sekolah atau pelajar yang terjejas.

Menurutnya, sekolah lain di Kalimantan Tengah akan dimulakan setengah jam lewat iaitu pada jam 7.30 pagi (waktu tempatan).

Sekolah juga dinasihatkan memendekkan tempoh pembelajaran setiap kelas kepada hanya 30 minit.

Jurugambar Reuters di Palangka Raya berkata, jarak penglihatan hanya sejauh 50 meter.

Sementara itu, sekolah di Kalimantan Barat yang ditutup akibat keadaan udara tidak sihat pada 12 hingga 14 September lalu akan dibuka semula, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 9:51 PM