SEBUAH kapal dirampas atas dakwaan cuba menyeludup 250,000 liter minyak diesel ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Reuters

DUBAI: Pengawal Revolusi Iran merampas sebuah kapal di Teluk atas dakwaan cuba menyeludup 250,000 liter minyak diesel ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Agensi berita Iran, ISNA dalam laporannya hari ini menyatakan kapal itu ditahan berhampiran pulau Greater Tunb di Teluk Parsi.

Menurut ISNA, kakitangan kapal diserahkan kepada pihak berkuasa di wilayah selatan Hormozgan, namun laporan itu tidak menyatakan warga negara mereka.

Rampasan itu dilakukan ketika ketegangan antarabangsa semakin meningkat susulan satu serangan ke atas kemudahan minyak di Arab Saudi baru-baru ini.

Kumpulan pemberontak Houthi yang berpangkalan di Yemen mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun Amerika Syarikat menuduh Iran yang melakukan serangan.

Iran meningkatkan kawalan terhadap penyeludupan minyak sejak awal bulan ini selepas pengawal pantai merampas sebuah kapal di Teluk dan menahan 12 kakitangan warga negara Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:52 PM